Pasukan Kuching FA adalah antara pasukan paling cepat ‘naik pangkat’ dalam Liga Malaysia.
Pasukan yang baharu saja ditubuhkan 2015 ini telah bertanding di dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR) pada tahun yang sama, dan berjaya memenangi pertandingan tersebut dan seterusnya ditawarkan ke Piala FAM pada tahun 2017.
Di dalam Piala FAM, Kuching FA nyata menyerlah apabila hampir memasuki separuh akhir piala tersebut pada musim pertama.
Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Kuching FA dan mereka tersingkir di peringkat suku akhir apabila tewas kepada UKM FC.
Tahun 2018 menyaksikan Kuching FA kurang menyerlah dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala FAM.
Kuching walaubagaimanapun mengakhiri musim di kedudukan keempat Kumpulan B.
Sungguhpun demikian, perubahan pada struktur Liga Malaysia menyaksikan Piala FAM dijenama semula menjadi Liga M3 mulai musim 2019.
Keputusan beberapa pasukan professional di Liga Super dan Liga Premier untuk menarik diri menyaksikan Kuching FA ditawarkan peluang untuk memohon memasuki Liga Premier bersama-sama beberapa pasukan lain.
Nasib walaubagaimanapun tidak menyebelahi Kuching FA apabila Perlis FA dipilih untuk ke Liga Premier, sekaligus menyaksikan Kuching FA melaungkan harapan untuk layak ke Liga Premier 2020 melalui merit.
Pada tahun 2019, Kuching FA memulakan kempen Liga M3 dengan bergaya dan memegang tahta liga sehingga tamatnya pusingan pertama.
Pada ketika ini, pihak penganjur Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) memaklumkan semua pasukan bahawa dua pasukan teratas Liga M3 tidak akan layak secara automatik ke Liga Premier seperti yang difikirkan, tetapi perlu menang perlawanan play-off menentang dua pasukan tercorot Liga Premier dahulu.
Enggan mengalah, Kuching FA terus gah sebagai pendahulu Liga M3 selepas pengumuman tersebut dibuat, namun mereka akhirnya dipintas oleh Kelantan United dan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua pada akhir musim.
Biarpun gagal muncul juara Liga M3, Kuching FA bersama Kelantan United kini diberi peluang untuk melayakkan diri ke Liga Premier melalui kemenangan pada perlawanan play-off.
Kelantan United walaubagaimanapun diberi promosi ke Liga Premier secara automatik memandangkan lawan mereka, Perlis FA, telah disingkirkan dari Liga Premier akibat masalah kewangan.
Sarawak FA yang menamatkan musim Liga Premier di kedudukan kedua akhir pula terpaksa berdepan Kuching FA.
Pertembungan pasukan ‘adik dan abang’ ini mendapat sambutan hangat di kalangan peminat bola sepak Sarawak.
Malam tadi, Kuching FA menepati sasaran mereka dengan menewaskan pasukan Sarawak FA, seterusnya memberi mereka slot ke Liga Premier 2020, sekaligus menjadi pasukan dari Sarawak yang paling cepat ‘naik pangkat’ sejak ditubuhkan.
Diharapkan ini adalah permulaan kepada perkembangan pasukan bola sepak dari bahagian lain di Sarawak.
Apa pun, tahniah Kuching FA!