Kelab bola sepak Kuching City terus bergelut di Liga Premier selepas tewas sekali lagi dalam perlawanan menentang Kelantan United malam Sabtu lalu.
Kuching City yang merupakan satu – satunya pasukan yang memainkan semua perlawanan pusingan pertamanya di tempat lawan, terpaksa akur dengan jaringan tunggal Kelantan United malam tadi yang memberikan kemenangan mutlak kepada pasukan muda dari Kelantan itu.
Dalam perlawanan tersebut, Kuching City beraksi dengan baik dengan melakukan serangan bertali arus ke arah kubu Kelantan United sebaik wisel permulaan dibunyikan.
Yuta Suzuki mempunyai peluang menjaringkan gol pertama pasukan The Cats seawal minit ke-9, namun rembatannya dari kiri pintu gol Kelantan United terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Ramadhan.
Ini diikuti oleh peluang keemasan untuk Mazwandi Zakeria, yang dilihat hanya perlu menguis bola masuk ke gawang Kelatan United dari satu sepakan sudut, namun sepakannya tersasar, untuk memastikan kedua pasukan terus kekal seri tanpa sebarang jaringan.
Kelantan United membalas serangan Kuching City dan satu set-piece dari sepakan sudut yang hampir membuahkan gol, tetapi Azraie Wan Teh menolak tandukan ke arah gol oleh Alfusainey Cassama untuk menyelamatkan keadaan.
Kedudukan terikat tanpa gol kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Pada babak kedua, Kelantan United dan Kuching City meneruskan aksi saling berbalas serangan.
Kelantan United akhirnya berjaya mengubah kedudukan pada papan jaringan apabila pemain gantian, Fakhrul Zaman, merembat cantik satu sepakan percuma dari luar kotak penalti untuk menewaskan Azraie yang hanya mampu melihat bola tersebut menerjah jaring.
Kuching City menggandakan asakan ke gawang Kelantan United selepas mendapati mereka kini ketinggalan, namun kekebalan barisan pertahanan Kelantan United terus mengecewakan mereka sehingga wisel penuh perlawanan.
Kekalahan ini tidak mengubah kedudukan Kuching City yang kini berada di tangga kedua terbawah Liga Premier.
Keputusan akhir, Kelantan United 1 – 0 Kuching City.