Kuching City mengejutkan Sarawak United petang tadi apabila menang tipis 1 – 0 di tempat sendiri.
Sarawak United yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi masa rehat dan pemain kesebelasan utama itu, merupakan pasukan pilihan untuk menang sekaligus mengukuhkan cengkaman mereka di persada Liga Premier.
Ini berlainan dengan Kuching City yang terpaska bermain tiga perlawanan dalam masa sepuluh hari.
Biarpun demikian, Alif Hassan memastikan Kuching City memungut tiga mata berharga pada perlawanan petang tadi apabila beliau menjaringkan gol kemenangan buat pasukan The Cats pada minit ke-83, sekaligus menyaksikan kelab tersebut naik ke kedudukan ke-8 di Liga Premier.
Kemenangan Kuching City ini membuka peluang lebih cerah kepada kelab profesional tersebut untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini.
Ini adalah kerana pasukan itu kini pada kedudukan ke-5 antara semua lapan pasukan yang layak ke Piala Malaysia. Lima pasukan terbaik Liga Premier akan bermain di Piala Malaysia.
Sungguhpun demikian, kelab tersebut perlu menang sekurang – kurangnya dua lagi baki perlawanan, dari empat perlawanan yang mereka ada untuk mengesahkan tempat di Piala Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Sarawak United kini perlu menunggu sehingga perlawanan berikutnya di dalam Liga Premier untuk menentukan kejuaraan mereka.
Kelab yang dilatih E. Elavarasan itu masih boleh mengesahkan kejuaraan liga mereka pada perlawanan Liga Premier pada perlawanan ke-19 sekiranya mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan akan datang nanti.