Pasukan Kuching City tidak akan meneruskan perjuangan mereka melampaui peringkat kumpulan Piala Malaysia selepas tewas kepada Selangor malam tadi.
Pasukan bimbingan Irfan Bakti itu ketinggalan seawal minit ke-10 perlawanan apabila Ahmad Danial menjaringkan gol pembukaan untuk Selangor.
Micheal Ijezie memberi harapan kepada pasukan The Cats apabila menyamakan kedudukan pada babak kedua, namun pemain gantian, Mik Muhammad Syarif meledakkan gol kemenangan pasukan The Red Giants dalam minity kecederaan untuk memberi kemenangan mutlak kepada Selangor.
Kekalahan tersebut bermaksud The Cats belum lagi menang dalam Kumpulan B dan kini di tangga ketiga Kumpulan B dengan hanya satu mata.
// LIHAT PROMOSI BARANGAN UNTUK JUALAN 11.11
Dengan perlawanan peringkat kumpulan kini tinggal dua perlawanan, Kuching City dilihat tidak lagi mampu melayakkan diri ke pusingan suku akhir memandangkan dua pasukan dalam Kumpulan tersebut, Selangor dan Terengganu, kini sudah memungut 9 dan 12 mata masing – masing.
Dalam sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih Selangor Karsten Neitzel berkata beliau gembira dengan keputusan perlawanan namun tidak begitu gembira dengan cara pasukannya bermain.
“Ianya adalah keputusan bagus tetapi perlawanan bukanlah yang terbaik. Kita melakukan banyak kesilapan dan permainan kami kurang baik. Sungguhpun demikian, bola sepak adalah berkenaan keputusan dan kami gembira berjaya memungut mata penuh malam ini.” kata Karsten dalam sidang media itu.