Kelab bola sepak Kuching City yang akhirnya berjaya memungut mata penuh dalam Liga Premier malam tadi menghadiahkan kemenangan manis tersebut kepada penyokong setia mereka.
Dalam sidang media selepas perlawanan, penolong ketua jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin menyatakan bahawa pasukannya gembira dengan kemenangan tersebut, dan ianya adalah satu hadiah penghargaan kepada peminat dan penyokong kelab tersebut.
“Kita nak hadiahkan kemenangan ini kepada Presiden kami, YB Fazzrudin dan juga CEO kami En Iswandi, dan juga seluruh warga penyokong dan peminat Kuching City.” kata Sulaiman selepas perlawanan.
Tindakan kelab tersebut mendedikasikan kemenangan pertama mereka pada musim ini kepada peminat dilhat amat bertepatan.
Ini adalah kerana penyokong Kuching City dilihat amat positif tetapi realistik berhubung peluang pasukan mereka di Liga Premier, khususnya di media sosial.
Ini dapat diperhatikan melalui komen – komen peminat kelab tersebut yang dilihat matang dan terus bersemangat biarpun pasukan mereka gagal memungut mata penuh dalam tiga perlawanan lepas.
Malahan, peminat Kuching City juga diperhatikan tidak bercakap besar dan sering cuba merendahkan diri biarpun pasukan mereka dilihat bermain dengan baik dalam beberapa perlawanan Liga Premier.
Biarpun menang, Kuching City masih belum mampu mengangkat diri keluar dari kelompok bawahan liga, namun rata – rata peminat yang dihubungi pihak kami berkata bahawa kelab Kuching City perlu membina asas dahulu sebelum memasang impian lebih besar.
Peminat sama juga merasakan bahawa Kuching City akan perlahan – lahan mencabar dalam Liga Malaysia, namun jika ianya tidak berlaku musim ini, ianya hanyalah salah satu daripada proses membina sebuah kelab bola sepak yang penuh tradisi dan sejarah untuk dibanggakan pada masa hadapan.
Untuk rekod, Kuching City adalah sebuah kelab yang baru berusia enam tahun, dan antara kelab termuda di dalam sistem bola sepak profesional Malaysia.