Selepas penafian oleh pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) petang tadi berhubung dakwaan mereka tidak memiliki dana dan mempunyai masalah membayar gaji pemain, pihak kami dimaklumkan oleh peminat bahawa ianya sebenarnya bukanlah tuduhan liar semata-mata, ataupun tuduhan yang dibuat individu sebarangan tanpa asas.
Menurut apa yang kami dimaklumkan, tuduhan tersebut hadir dari mulut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Sultan Ismail ketika sesi FB Live beliau.
Dalam pada itu, pihak kami telah meneliti semula klip video tersebut berulang kali, dan adalah jelas bahawa TMJ menuturkan kata-kata “Saya bagi contoh, Sarawak, might not be in the Super League because dah takda fund. They don’t even have money to pay their players salary until December. I am trying to get the fund for them, to make sure they stay in the competition“. (Terjemahan: Sebagai contoh Sarawak mungkin tidak akan berada di dalam Liga Super pada musim hadapan kerana mereka tiada dana. Mereka kini tidak memiliki dana untuk membayar gaji pemain sehinga bulan Disember. Saya sedang cuba untuk mencari dana untuk mereka bagi memastikan mereka kekal di dalam pertandingan ini”.)
Pihak kami dalam pada itu agak keliru kerana kami kini kurang pasti sendiri siapa yang patut dipercayai kerana jika diikutkan kenyataan FAS petang tadi, dakwaan tersebut adalah kenyataan ‘liar’ kerana ianya bukan daripada FAS.
Adakah dakwaan Presiden FAM, Tungku Ismail ‘liar’, seperti didakwa FAS? atau mungkinkah TMJ hanya memberi contoh yang tidak betul faktanya, sehingga diambil secara ‘literal’ oleh banyak pihak.
Apapun, anda sendiri tentukan.
Video sesi FB Live TMJ sekali lagi kami sertakan diatas, dan anda boleh terus ke minit detik 1:08:00 hingga 1:10:00 video tersebut untuk mendengar sendiri apa yang kami dengar, dan anda nilai lah… Yang pasti, bukan kami yang cakap Sarawak tak bayar gaji pemain.