Ketua jurulatih pasukan wanita Sarawak FA, Mohamad Hakimi bin Man telah memaklumkan kepada SarawakCrocs bahawa beliau akan mengundur diri dari penglibatan beliau sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Wanita pasukan Sarawak.
Beliau yang mencipta sejarah membawa kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah ke Sarawak pada Sabtu lepas menjelaskan bahawa beliau ingin menumpukan perhatian kepada pembangunan bolasepak belia di negeri ini terutamanya di bahagian Miri.
Ketika ini beliau baru saja dilantik oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak untuk menguruskan Pusat Pembangunan Bolasepak MSNS yang berpusat di Kolej Vokasional Miri.
Selain itu juga, beliau turut ingin mengejar cita-citanya untuk melanjutkan lesen kejurulatihannya ke peringkat tertinggi kebangsaan untuk menjadi salah seorang pengajar (instructor) yang melatih jurulatih-jurulatih di Sarawak.
Hasil usahanya bersama skuad belia Miri turut dapat dilihat apabila beberapa orang pemain muda yang pernah dilatihnya kini diserap ke skuad Piala Presiden Sarawak FA.
Tambah Hakimi, beliau gembira berjaya merealisasikan impian peminat bolasepak Sarawak untuk membawa kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah buat pertama kali ke Sarawak, namun sudah tiba masanya beliau berehat dan memberi fokus kepada kerjaya beliau sebagai guru.
Dalam perkembangan sama, Hakimi turut menjelaskan bahawa pengalaman dan kenangan membawa pasukan wanita Sarawak FA ke menjuarai kejohanan bolasepak wanita paling berprestij Malaysia akan dikenang sampai bila-bila dam beliau amat bersyukur telah diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan tersebut.
Hakimi berharap Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan meneruskan usaha mengembangkan bolasepak wanita di Sarawak, dan memberi tugas beliau kepada jurulatih lain.