Malam tadi di Kuching, pasukan Sarawak tumpas 1-7 kepada pasukan Perth Glory FC dalam perlawanan Piala Simposium. Gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Mateo Roskam.
Permainan kurang kemas, longgar di samping faktor rendah diri di kalangan pemain tempatan antara sebab perlawanan ini bagaikan sesi pemanas badan sahaja buat The Glory ini.
Kita memang menjangka keputusan ini berdasarkan prestasi semasa Sarawak. Ini bukan Sarawak zaman Alan Vest. Bahkan jika skuad “invincible” 2013 yang bermain semalam, mungkin tentangan menjadi lebih sengit dengan sokongan luar biasa daripada penonton.
Jumlah penonton yang hadir juga tidak memberangsangkan. Ini pun kita jangka atas sebab prestasi pasukan, bukannya tidak mampu berbelanja kerana harga tiket adalah murah untuk perlawanan menentang pasukan ternama ini.
Perlawanan persahabatan ini membuktikan betapa kualiti pemain-pemain tempatan Sarawak agak lemah, dan masalah ini telah kita utarakan dalam artikel sebelum ini.
Skuad The Glory memberikan pengajaran berguna kepada Sarawak: bermain dengan semangat berpasukan yang jitu, kecergasan terbaik, menonjolkan pemain muda yang tidak gentar bermain dan cepat membentuk formasi ketika menyerang dan diserang.
Tetapi apa yang kami gusarkan ialah bagaimanakah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memaksimakan kerjasama dengan kelab tersohor A-League ini?
“Kerjasama dengan Perth Glory bukan sahaja merangkumi perlawanan persahabatan, bahkan pembangunan dan pertukaran pemain, pemerkasaan kejurulatihan dan meningkatkan tahap profesionalisme dalam urus tadbir pasukan.”
“Kita juga cuba membantu membawa masuk pelaburan dan pelancong ke Sarawak dengan membawakan perlawanan khas A-League atau mementaskan kejuaraan piala Australia yang boleh menonjolkan keupayaan FAS dan tarikan ke negeri Sarawak amnya,” kata beberapa pegawai FAS ketika ditemui kami.
Melalui perlawanan persahabatan dan penganjuran simposium bersama Perth Glory ini, FAS jangan berlengah untuk memantapkan pengurusan bola sepak di Sarawak dengan merangka “blueprint” membangunkan liga komuniti dan kelab-kelab tempatan agar lebih kompetitif.
Janganlah terlalu fokus menguatkan pasukan Sarawak, sedangkan lebih ramai bakat muda di seluruh negeri yang terpendam tidak berpeluang bermain ke tahap yang tinggi.
Buat Sarawak dalam masa singkat, bukalah mata dan perbaiki segala isu untuk kekal bersaing sehingga hujung musim ini.
Ayuh bangkit, lawan seterusnya ialah Terengganu FC II untuk anda tewaskan dalam Challenge Cup musim ini. /SARAWAKCROCS.COM/RSI