Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menyifatkan kemenangan ke atas pasukan simpanan JDT, JDT II sebagai satu kemenangan yang penting bagi pasukan beliau.

Beliau yang menegaskan bahawa pasukannya perlu konsisten jika ingin mencapai hasrat musim ini, berkata bahawa tiga mata daripada JDT II, biarpun pada saat akhir, merupakan mata yang penting.

Sungguhpun demikian, beliau juga menyatakan bahawa JDT II bukan pasukan biasa dan perlawanan sememangnya sukar untuk kedua – dua pasukan.

“Saya rasa gol yang kita dapat pada minit terakhir itu paling penting untuk kita. Tiga mata ini memang penting untuk kita. JDT bukan pasukan yang biasa. Ianya pasukan yang baik. Kita susah nak menang” kata Elavarasan selepas perlawanan.

“Dua – dua pasukan cuba menjaringkan gol dan dengan cuaca begini, memang berat untuk pemain. Padang berat, dan kedua – dua pasukan memberikan yang terbaik.” ulas nya lagi.

Dalam perkembangan itu, Elavarasan juga memuji pasukan JDT II yang dibarisi banyak pemain muda.

Menurut Elavarasan, pasukan beliau sememangnya agak tenggelam pada babak pertama, namun nampak lebih baik pada babak kedua.

Malahan, beliau memberi pujian kepada penyerang Sarawak, Norshahrul Idlan Talaha yang berjaya menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.

“JDT nampaknya mengusai bola dengan pemain – pemain muda pada babak pertama, tetapi pada babak kedua kita mula lebih teratur dan perlawanan seperti ini sememangnya akan dimenangi sesiapa yang menjaringkan gol.

“Penyerang seperti Norshahrul tidak boleh diberi ruang kerana apabila dia diberi peluang, dia sangat bahaya.” jelasnya Elavarasan lagi.