Kelewatan dalam persiapan punca Sarawak United tidak menyerlah musim lepas

Ketua Jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan menyatakan bahawa persiapan lewat musim lepas benyak menjejaskan peluang Sarawak United untuk memburu kedudukan lebih baik musim lepas.

Elavarasan juga mendakwa bahawa perlawanan Liga Premier yang hanya dijalankan secara satu pusingan juga menyaksikan situasi bertambah sukar bagi pasukan bimbingan beliau untuk bersaing.

Beliau juga memberi contoh dua pasukan yang ke Liga Super musim ini, yakni Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, yang mana telah membuat persiapan lebih awal dan sekaligus lebih bersedia untuk musim yang pendek ekoran pandemik Covid-19.

“Musim lalu kita telah lihat bagaimana Pulau Pinang yang muncul juara telah melakukan persiapan yang begitu awal iaitu beberapa bulan sebelum bermulanya liga.”kata Elavarasan.

“Begitu juga Kuala Lumpur yang bermula begitu awal dan lihatlah hasilnya, kedua-dua pasukan ini berjaya merebut dua slot ke Liga Super.” jelasnya lagi.

Elavarasan seterusnya menyatakan bahawa pasukan Sarawak United lewat melakukan persediaan musim lepas, dan beliau menyatakan bahawa kelabnya kini telah lebih bersedia untuk cabaran musim ini bagi mendapatkan kedudukan lebih baik di dalam Liga Premier.

“Kami pula sebaliknya yang kesuntukan masa untuk lakukan persiapan dan harap kami boleh belajar sesuatu daripada musim lalu untuk memburu kedudukan yang lebih baik, ” katanya lagi.

Sarawak United telah bertindak awal mengikat beberapa pemain ternama musim ini dengan bekas ketua pasukan Selangor, Taylor Regan menjadi antara pemain yang sudah sah akan mengenakan jersi kebanggaan pasukan ersbeut.

Kelab tersebut juga telah mengambil Amer Saidin, Khair Jones, Gopi Rizqi dan Haziq Aris.

Pada musim lepas, Elavarasan sekadar membawa pasukan itu di tangga kesepuluh di saingan Liga Premier serta terlepas peluang bermain di TM Piala Malaysia.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top