Kelantan dan Negeri Sembilan menepati pilihan awal pengamal bolasepak yang meletakkan mereka sebagai calon utama untuk turun ke Liga Perdana 2019.
Kelantan yang diselubungi pelbagai kemelut dilihat sangat bergelut terutama dengan hanya menggunakan pemain muda dari skuad Piala Presiden dan pemain import yang sekadar melengkapkan kuota.
Memetik kata jurulatih Kelantan di akhir perlawanan menentang Terengganu, beliau sedar tentang kualiti yang ada pemain Kelantan tidak setaraf dengan Liga Super. Malah pemain import juga dilihat kurang berkesan.
Negeri Sembilan yang naik ke Liga Super atas jemputan FMLLP menggantikan TTeam juga bergelut untuk mencapai tahap permainan Liga Super yang kompetitif.
Mereka juga menukar 3 orang jurulatih namun kesemuanya gagal menterjemahkan apa yang diperlukan untuk kekal di Liga Super sekurang-kurangnya setahun lagi.
Namun ini bukanlah titik noktah buat kedua-dua pasukan. Mungkin dengan turun ke Liga Perdana pihak pengurusan mampu untuk membuat “overhaul” terhadap pasukan.
Mereka perlu menumpukan misi mereka dan menarik hati penyokong semula dengan membina pasukan bersama-sama penyokong yang sudah pasti mahu melihat kebangkitan pasukan kesayangan mereka.
Kedua-dua pasukan juga pernah menjuarai Liga Super oleh itu ini bukanlah perkara asing buat mereka. Selamat maju jaya diucapkan kepada kedua dua pasukan. – SarawakCrocs.com /JJ