Pasukan gergasi tanah air satu masa dahulu Kelantan kini telah tersingkir ke Liga Premier.
Setelah 10 tahun berjuang di Liga Super, akhirnya mereka terpaksa menerima hakikat bahawa pasukan mereka tidak cukup bagus untuk kekal di Liga Super.
Jatuh ke Liga Perdana bukanlah penamat cerita untuk Kelantan. Mereka adalah kuasa bola sepak di Malaysia. Penyokong mereka sungguh fanatik dan membanjiri kesemua stadium yang mereka kunjungi.
Apa yang perlu dilakukan oleh Kelantan sekarang adalah membina semula pasukan dari semua peringkat.
Presiden KAFA perlu tegas dalam menangani semua kemelut dalaman yang kian meruncing.
Beliau perlu melantik naib presiden yang benar-benar mahu membangunkan bola sepak Kelantan dan bukannya hanya kerana kepentingan politik. Masalah yang sekian lama membelenggu banyak pasukan di Malaysia.
Kekalkan pemain muda sedia ada dengan menjaga kebajikan mereka. Lantik seorang jurulatih berpengalaman dalam membentuk karektor pemain muda.
Bukan menidakkan kemampuan Yusri Che Lah tetapi beliau masih boleh belajar dengan jurulatih yang lebih berpengalaman.
Peminat pula perlu menyokong segala dasar yang bakal diperkenalkan oleh KAFA untuk membina semula pasukan. Lihat sahaja bagaimana pasukan Terengganu yang kembali ke Liga Super hanya semusim selepas turun liga.
Mungkin masalah pasukan Kelantan sudah bermula dari zaman presiden KAFA terdahulu dan presiden sekarang terpaksa menanggung bebanan hutang yang terlalu tinggi.
Akibatnya perbelanjaan pasukan terpaksa dikurangkan dan sekaligus menjejaskan prestasi pasukan.
Kini segala hutang sudah dilunaskan maka masanya untuk membina semula pasukan bermula. Namun perubahan bukan boleh berlaku dalam masa yang singkat.
Pengurusan, pasukan kejurulatihan, pemain dan penyokong harus bersatu untuk meletakkan Kelantan kembali disegani. Gomo Kelate Gomo. – SARAWAKCROCS.COM/JJF