Krisis di Kelantan dilihat semakin meruncing berikutan hasrat Annuar Musa mengundur diri sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Menurut akhbar Sinar Harian, gergasi bolasepak pantai timur itu kini berdepan masa depan tidak menentu berhubung penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan ekoran kekangan kewangan.
Masalah kewangan ini telah mengakibatkan status Kelantan di Liga-M pada musim hadapan samar dengan pihak KAFA hanya berupaya mengetahui status pasukan bolasepak yang diberi jolokan The Red Warrior (TRW) dalam dua minggu lagi.
Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Nik Jaafar dikatakan tidak menolak segala kemungkinan bagi TRW, termasuk tindakan menarik diri dari Liga-M sekiranya KAFA masih gagal mendapatkan sumber penajaan daripada pihak luar dalam tempoh terdekat ini.
Kafa dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan mereka membentuk pasukan baharu untuk kembali bersaing secara kompetitif dalam Liga-M musim depan.