Perebutan trofi Liga Premier 2021 semakin hangat membabitkan pertembungan tiga penjuru apabila Terengganu FC II meraih kemenangan ke atas Kuching City FC semalam sekali gus berpeluang untuk bergelar juara.
Kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang meletakkan TFC II di tangga ketiga liga dengan 35 mata menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali turut sama berpeluang untuk meraih trofi bersaing sengit dengan dua lagi pasukan iaitu Negeri Sembilan FC dab Sarawak United FC.
Jelasnya, barisan pemain telah mempamerkan persembahan cukup bertenaga untuk menewaskan Kuching City terutamanya di separuh masa kedua untuk meraih dua jaringan.
Justeru, beliau mahu kebangkitan sama dipamerkan mereka untuk perlawanan terakhir menentang Kelantan United FC pada Selasa depan bagi memastikan tiga mata dalam genggaman selain mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United tewas dalam aksi terakhir itu.
// LIHAT PROMOSI SHOPEE TERMURAH HARI INI
“Pemain saya agak bergelut sedikit pada separuh masa pertama dan mereka mula bangkit pada separuh masa kedua di mana corak permainan yang lebih baik dipamerkan pemain untuk mendapat dua gol.
“Jadi, untuk perlawanan terakhir ini macam-macam mana pun kena bagi 100 peratus untuk sekurang-kurangnya kita dapat nombor dua liga, tetapi peluang untuk bergelar juara tetap ada dengan mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United kalah.
“Kalau kita menang dan mereka kalah, perbezaan gol juga memihak kepada TFC II berbanding dengan Negeri Sembilan, tetapi kalau kita dapat nombor dua pun, saya dah bersyukur sebenarnya”, jelasnya.
Negeri Sembilan ketika ini berada di takhta liga dengan 38 mata manakala Sarawak United di tangga kedua dengan 37 mata. – MFL