Kedah ‘hadiahkan’ tiga mata kepada Pahang FC

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan khabar angin sebelum ini bahawa Pahang telah diberi tiga mata berikutan kesalahan menurunkan pemain yang digantung.

Menurut FAM, Persatuan Bolasepak Kedah didapati bersalah “menurunkan pemain, Mohd Rizal Mohd Ghazali yang telah digantung secara automatik (akibat daripada pengumpulan 3 kad kuning pada perlawanan Liga Super 2016 yang berbeza) ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Kedah lawan Pahang pada 3 Ogos 2016 di Stadium Darul Aman, Alor Setar”.

Dalam pada itu, kemenangan 3-0 diberikan kepada Pahang bagi perlawanan tersebut, sekaligus memberikan Pahang tiga mata daripada perlawanan tersebut.

Selain memberikan Pahang tiga mata berharga itu, Kedah turut didenda RM5,000 dan diberi amaran keras.

Pemberian tiga mata kepada Pahang sekaligus mengubah situasi Pahang di dalam Liga Super yang sebelum ini bergelut untuk terus kekal di dalam liga paling berprestij Malaysia itu, kerana pertambahan mata itu kini secara langsung ‘menyelamatkan’ Pahang daripada zon bahaya dengan jumlah 23 mata.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top