Kecergasan pemain Kuching FA semasa tempoh kekangan pergerakan ini menjadi antara kegusaran yang terpaksa diharungi oleh barisan kejurulatihan Kuching FA.

Laporan akhbar Borneo Post mendakwa jurulatih Kuching FA, Ideris Untong sebagai berkata bahawa pemain Kuching FA harus berlatih secara bersendirian sepanjang kekangan pergerakan COVID19 negara ini.

Ideris juga dilaporkan akhbar tersebut sebagai berkata bahawa tiada arahan dari pihak pengurusan untuk memantau pemain Kuchig FA.

Akhbar sama juga melaporkan bahawa Kuching FA telah membatalkan semua latihan berpasukan sehingga 31 Mac ini.

Ideris dipetik Borneo Post sebagai berkata “Sebagai pasukan, kita seharusnya berlatih bersama tetapi pada waktu ini kita tidak mahu berbuat demikian. Kita harus akur kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan”.

Dalam pada itu, Ideris mengakui beliau kini ‘agak risau’ akan tahap kecergasan pemain namun berharap pemain akan terus memastikan mereka cergas sepanjang tempoh kekangan pergerakan ini bagi mempersiapkan diri mereka untuk perlawanan pada bulan hadapan.

Semua pasukan Liga Malaysia telah menghentikan latihan berpasukan selaras dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia yang mahukan semua individu mengekang pergaulan fizikal bagi membendung pandemik COVID19 yang telah menjangkiti lebih 600 orang di Malaysia.

Selaras dengan arahan tersebut, Kerajaan Malaysia telah mengarahkan semua stadium ditutup, dan pihak FAM dan MFL telah bertindang menggantung Liga Malaysia sehingga dimaklumkan.