Kelab bola sepak Liga Premier Sarawak United, akan mengenakan jersi JOMA bagi musim 2020.

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi dari satu sumber di Kuala Lumpur, jersi Joma akan dikenakan oleh pasukan yang dijenama semula dari Selangor United itu.

Warna jersi tersebut walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan buat masa ini, namun adalah dipercayai warna merah dan kuning akan dikekalkan.

Dalam perkembangan sama, penggunaan jenama Joma oleh Sarawak United dipercayai adalah kesinambungan dari Selangor United yang mana turut mengenakan jenama tersebut sebelum ini.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) biasanya menggunakan jenama milik Lea Sports Centre (LSC), yakni StarSports untuk jersi utama pasukan tersebut.

Perubahan kepada Joma dalam pada itu adalah satu perubahan yang dilihat selari dengan kehendak FAS yang mahukan pembaharuan kepada pasukan yang baru dimilikinya.