Pasukan simpanan JDT FC, JDT II gagal menyekat kemaraan pasukan Sarawak United dalam Liga Premier selepas tewas kepada pasukam bimbingan E. Elavarasan malam tadi.

Dalam perlawanan sengit itu, Sarawak United bermula garang dengan melakukan asakan – asakan bertali arus ke kubu JDT II.

Christie Jayaseelan hampir membuat jaringan untuk Sarawak United seawal minit ke-5, namun rembatannya hanya menggegar palang gol.

Ini diiukuti kemudian oleh rembatan – rembatan ke arah pintu gol JDT II oleh S Chanturu dan Nur Shamie yang jauh dari sasaran.

Pada babak kedua, JDT II mula menunjukkan taring dan mula menguasai saingan.

Ini menyaksikan serangan bertali arus dilakukan JDT II ke arah kubu Sarawak United, sekaligus memaksa Sarawak United banyak bertahan.

Kesungguhan JDT II mencari gol walaubagaimanapun memakan diri apabila serangan kilat dari Sarawak United menyaksikan Nurshahrul tidak mensia – siakan hantaran pendek Abdul Rahim dengan melakukan satu rembatan kencang yang menewaskan Muhammad Haziq yang menjaga gol JDT I pada minit ke – 85.

Gol tunggal itu sudah cukup untuk Sarawak United mengutip tiga mata penuh pada perlawanan Liga Premier mereka yang ke – 9 malam tadi.

Ini sekaligus memperkukuhkan lagi kedudukan Sarawak United di kedudukan atasan liga, dan mencerahkan lagi peluang mereka untuk layak ke Liga Super 2022.