Ketua jurulatih pasukan Sarawak United D (SUD), David Usop dipetik akhbar Utusan Borneo sebagai berkata bahawa beliau tidak mahu keputusan aksi pemanas badan pasukan bimbingannya dijadikan ukuran kepada kemampuan pasukan SUD.
David dipetik Utusan Borneo sebagai berkata “kita masih berusaha memperbaiki setiap kelemahan yang dikesan pada perlawanan itu malah masih mencari formasi terbaik untuk menjadikan skuad muda kita benar-benar mantap”.
Ketua jurulatih berpengalaman itu walaubagaimanapun mengakui bahawa suasana pasukan adalah di dalam keadaan terbaik dan beliau dipetik sebagai percaya dengan kemampuan anak-anak buahnya.
David juga menerangkan bahawa pemain-pemain beliau adalah pemain pelapis kepada pasukan Piala Presiden (Sarawak United C) dan pasukan senior (Sarawak United A), dan ini bermakna mereka harus diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan.
SUD sebelum ini dlaporkan telah membelasah IKBN Miri 7-0, sebelum menewaskan kelab dari Brunei, Panaga FC dengan jaringan beza satu gol.
Pasukan bimbingan David Usop itu seterusnya berjaya menumbangkan Kota Rangers Brunei, sekaligus menyaksikan pasukan itu menang kesemua tiga perlawanan pra-musim terkini.
Pasukan SUD akan melayan kunjungan pasukan bawah-19 Negeri Sembilan yang bermula pada 23 Februari ini.
Untuk makluman, semua perlawanan SUD akan berlangsung di Stadium Miri dengan sepak mula dijadualkan pada jam 4:15PM.
Masuk untuk menyaksikan perlawanan Piala Belia adalah percuma.