Penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad mahu rakan sepasukan berwaspada dengan kemampuan Sarawak United FC untuk melakukan kejutan dalam aksi pertama Liga Super malam esok meskipun berdepan pertukaran ketua jurulatih pada saat akhir.
B. Satiananthan telah dilantik selaku ketua jurulatih menggantikan E. Elavarasan yang kini bersama skuad kebangsaan menyaksikan pasukan ini tetap bersedia dengan persiapan terbaik untuk perlawanan di Stadium Negeri, Kuching.
Justeru, Syafiq yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggap perlawanan malam esok pastinya lebih sukar dari dijangka memandangkan ia merupakan aksi pertama Sarawak United dalam pentas Liga Super yang pastinya enggan kehilangan mata di laman sendiri.
Namun, sudah tentu anak buah Aidil Sharin Sahak ini mempunyai percaturan sendiri untuk tidak membiarkan pasukan tersungkur selepas melakukan persediaan rapi dalam pra musim ini.
“Rasa gemuruh, teruja dan semua ada sebab ini adalah perlawanan pertama dan mesti la Kedah pun ingin menang dalam aksi pertama ini.
“Kita tahu Sarawak United bertukar jurulatih pada penghujung pra musim, tetapi itu tidak bermakna apabila mereka tukar jurulatih, persiapan pasukan akan terjejas.
“Saya percaya persediaan mereka mungkin lebih baik, mana tahu kan lebih-lebih lagi beraksi di stadium sendiri dan ini adalah aksi pertama mereka dalam Liga Super, jadi Kedah tidak akan beri laluan mudah untuk cuba menang malam esok”, jelasnya. – MFL




