Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail hari ini menyatakan bahawa baginda tidak bersetuju mata liga pasukan yang menghadapi masalah pendaftaran pasukan dipotong.
Komen baginda hadir selepas pihak FMLLP mengumumkan nama pasukan-pasukan yang mempunyai masalah pendaftaran pasukan, dengan beberapa pasukan juga dikenalpasti hanya melengkapkan maklumat pendaftaran pasukan selepas tarikh akhir tamat.
FMLLP dikatakan akan menolak mata liga pasukan yang mempunyai masalah pendaftaran, dan ini termasuklah dua pasukan Lembah Kelang yang kini bersaing untuk kedudukan pendahulu Liga Super dengan JDT FC, yakni PKNS FC dan Selangor FA.
Turut disenaraikan adalah pasukan Sarawak FA.
Menurut TMJ, baginda “mahu pihak penaja melihat sendiri mengapa Liga Malaysia tidak boleh berkembang ke arah profesional”.
TMJ dalam pada itu juga memohon maaf kepada penaja-penaja Liga Malaysia berhubung masalah pendaftran pasukan sambil menambah bahawa kehadiran isu tersebut sebagai jawapan kepada persoalan mengapa Liga Malaysia tidak dapat berkembang, yakni disebabkan oleh isu “mentaliti dan sikap kuno”.