Jadual padat jadi punca utama

Jadual perlawanan yang padat bagi Liga Malaysia musim ini mula menampakkan kesan kepada pemain dengan kecederaan dilaporkan semakin bertambah di kalangan kebanyakan daripada mereka.

Pasukan Sarawak dilihat tidak terkecuali apabila beberapa orang pemain dilaporkan mengalami kecederaan ringan kerana jadual perlawanan yang terlalu padat, sekaligus menyaksikan pasukan Sarawak terus merosot akibat kehilangan beberapa pemain utama.

Kepadatan jadual perlawanan Liga Malaysia musim ini memberi kesan lebih teruk kepada pasukan Bujang Senang yang terpaksa menggunakan kapal terbang untuk ke destinasi perlawanan. Ini sekaligus mengurangkan masa rehat mereka kerana masa perjalanan, termasuk menunggu masa untuk memasuki dan keluar daripada penerbangan, dengan mudah mengambil masa yang lama. Faktor ‘jetlag’ akibat menaiki kapal terbang juga diketahui memberi kesan sampingan kepada kesihatan pemain.

Hujung minggu lepas, penjaga gol utama Sarawak, Shahril Sa’ari pula menjadi mangsa baharu kecederaan akibat jadual perlawanan yang padat, dan pihak SarawakCrocs menjangkakan beliau bukanlah yang terakhir, kerana Sarawak dijangka akan bermain dua perlawanan seminggu, terutama jika layak ke Pusingan Kedua Piala Malaysia.

Dalam pada itu, David Usop selaku jurulatih utama Sarawak kini perlu bijak membuat percaturan dan rotasi pemain agar memastikan Sarawak masih mampu terus bersaing, terutama sekali di dalam Liga Super yang mana menyaksikan Sarawak hanya dipisahkan satu mata dari pasukan zon penyingkiran.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top