Harris Harun sudah julang semua piala bola sepak utama Malaysia

Kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Harris Harun menyifatkan detik menjulang trofi Piala Malaysia 2019 sebagai penutup terindah pada tahun ini buat dirinya dan seluruh pasukan.

Ini kerana, impian Harris untuk mendakap kesemua piala domestik dalam saingan Liga Malaysia sepanjang kariernya sudah pun tercapai selain kejuaraan Piala AFC 2015.

Sudah pasti, ini adalah pencapaian yang cukup membanggakan untuk diingati pemain kelahiran Singapura itu bersama JDT dengan kemenangan yang cukup bergaya selepas menewaskan Kedah 3-0 pada perlawanan akhir semalam.

Walaubagaimanapun, Harris menganggap kejayaan yang dicapai ini perlulah menjadi penanda aras baharu untuk pasukan menambahbaik kualiti yang sudah ada dengan gaya permainan yang lebih mantap untuk beraksi di tahap yang tertinggi.

“Sudah pasti ini adalah kenangan dan memori yang cukup membanggakan untuk saya dan satu pasukan JDT apabila kita berjaya mencipta sejarah bagi menutup musim 2019 dengan penuh bergaya.

“Saya juga berjaya melengkapkan koleksi kejuaraan saya dalam saingan Liga Malaysia dan tidak akan lupa kejayaan yang telah capai pada malam ini.

“Namun, kami satu pasukan perlu meneruskan usaha dan kerja keras setiap tahun kerana JDT sentiasa bercita-cita tinggi untuk kekal berada di atas,” jelasnya.

Mengulas berkenaan aksi final berdepan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Harris tidak menganggap ia adalah perlawanan yang mudah seperti dijangka.

Ini kerana, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tetap memberi tentangan sengit pada awal perlawanan dan beberapa kali cuba mengganggu rentak pasukan sebelum akhirnya Kedah dibolosi tiga jaringan.

“Bagi saya, ia merupakan perlawanan yang sengit dan setiap kali kami bertemu Kedah, semua pemain terpaksa bergelut untuk mendapatkan gol.

“Kita boleh lihat bagaimana Kedah bermain dengan bagus pada awal permainan dan pergerakan kami juga terganggu setiap kali JDT cuba mengasak.

“Tapi disebabkan fokus satu pasukan sepanjang perlawanan menyebabkan kami berjaya kekalkan corak permainan yang sepatutnya dan ianya berjaya untuk kami julang Piala Malaysia malam ini”, katanya.

Ini merupakan kejuaraan Piala Malaysia yang kedua buat pasukan JDT selepas kali pertama menjulang trofi tertua di Asia Tenggara itu pada tahun 2017 apabila menewaskan lawan sama dengan kemenangan 2-0.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top