Kelab Bolasepak Sarawak United akan mencari pemain import tempatan yang mampu menyerlah tahun hadapan.
Menurut penolong pengurus Sarawak United, Abang FOmay Abang Sa’adeli, kehadiran pemain import tempatan berkualiti amat penting terutama di dalam beberapa posisi.
Beliau turut menyatakan bahawa hanya Amri Yahyah, yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan benar – benar menyerlah musim ini.
“Insya-Allah saya akan ajukan cadangan tersebut kepada pihak pengurusan atasan.” kata Fomay kepada Suara Sarawak.
“Kalau kita lihat sepanjang musim 2020, hanya bekas pemain Malaysia, Amri Yahyah yang menyerlah, berbanding import tempatan lain.” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Fomay juga mencadangkan Sarawak United mengambil dua atau tiga lagi pemain import tempatan untuk digandingkan dengan Amri untuk musim hadapan.
Fomay juga mengesahkan bahawa Sarawak United akan mengekalkan sebahagian besar, atau semua pemain kelahiran Sarawak dalam pasukan itu untuk musim hadapan.
Sarawak United mengakhiri musim 2020 di tangga ke-11 Liga Premier dan telah gagal melayakkan diri ke Piala Malaysia.