Pemain sayap Sarawak Unitd, R Gopinathan (Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra) telah menolak tawaran dari satu lagi pasukan Liga Premier dan satu pasukan Liga Super untuk ke Sarawak United.
Tanpa memberitahu nama dua pasukan tersebut, pemain 31 tahun itu jelas mahu berjaya di pasukan baharunya.
Beliau memberitahu akhbar tempatan bahawa kehadiran pemain berpengalaman di dalam pasukan Sarawak United, serta kehadiran E Elavarasan menjadi antara sebab mengapa beliau memilih untuk berhijrah ke Sarawak United, biarpun pasukan tersebut hanya bermain di liga bola sepak kedua tertinggi di Malaysia.
“Saya pilih Sarawak United bukan sahaja kerana ianya dibarisi pemain berpengalaman, malah pernah bekerjasama dengan ketua jurulatih E Elavarasan.” kata Gopi kepada satu akhbar tempatan.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa Liga Premier kurang kompetitif, dan percaya Sarawak United musim ini akan menyerlah.
“Beraksi dalam Liga Premier tidak menjadi persoalan kerana ia juga tidak kurang hebatnya terutama saingan daripada pasukan yang turut menyenaraikan pemain berpengalaman.” jelasnya.
“Saya berharap Sarawak United yang begitu komited mempersiapkan pasukan ini akan meraih kejayaan yang membanggakan.” katanya lagi dalam satu laporan akhbar tempatan.