Kegagalan pasukan Sarawak United FC menjaringkan gol menyaksikan pasukan tersebut kecewa malam tadi.
Ini diakui sendiri oleh Ketua Jurulatih Sarawak United, E Elavarasan yang enggan memberi alasan banyak berkenaan kekalahan pasukannya selepas menguasai hampir keseluruhan perlawanan.
Malah, menurut Elavarasan, penguasaan perlawanan tidak penting, dan beliau hanya melihat kepada kedudukan akhir perlawanan.
“Perlawanan ini adalah seimbang. Siapa yang menjaringkan gol akan membezakan keputusan hari ini.” kata Elavarasan kepada pemberita selepas perlawanaan.
“Saya rasa keputusan hari ini lebih memihak kepada Kelantan.
“Walaupun penguasaan perlawanan adalah penting tetapi jaringan yang akan membezakan keputusan.
“Kedua – dua pasukan ada peluang, tetapi siapa yang menggunakan peluang akan menang. Malang bagi kita kerana kita menghadiahkan sepakan penalti pada saat akhir perlawanan, jadi kita kena menerima keputusan ini” katanya lagi.
Elavarasan turut menegaskan bahawa ketumpulan barisan serangan Sarawak United jelas di dalam perlawanan ini apabila beliau memberi contoh peluang – peluang terhidang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam gol oleh pemain pasukannya.
“Kita ada banyak peluang yang sepatutnya kita menjaringkan gol
“Di saat akhir pun kita ada peluang untuk menyamakan kedudukan.
“Amri (Yahyah) pun ada mendapat peluang.” katanya lagi.
Kekalahan pasukan Sarawak United menyaksikan pasukan tersebut di kedudukan kedua terbawah liga dengan baki dua lagi perlawanan di dalam Liga Premier.