Jurulatih Kuching, Ahmad Nurfaizal juga menyatakan bahawa kemenangan ke atas Negeri Sembilan telah memberi semangat kepada pasukan beliau.

Ini adalah kerana Negeri Sembilan bukan pasukan calang – calang dan merupakan pasukan yang kuat di dalam Liga Premier.

Ahmad berkata demikian meskipun pasukan bimbingannya berjaya menjaringkan empat gol pada babak pertama perlawanan kelmarin.

“Pada saya Negeri Sembilan adalah pasukan yang susah dikalahkan kerana mereka mempunyai empat pemain asing yang berkualiti dan saya boleh lihat kualiti mereka adalah lain.” kata Ahmad kepada pemberita selepas perlawanan.

Ahmad juga menyatakan bahawa kejayaan pasukan beliau menjaringkan gol merupakan hasil daripada kelekaan pemain Negeri Sembilan.

“Pada babak pertama kita telah mengambil kesempatan kelekaan pemain Negeri Sembilan untuk menjaringkan empat gol.

“Pada babak kedua kita telah lebih fokus kepada kecederaan pemain”. kata Ahmad lagi.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun berkata bahawa kesilapan menjadi punca pasukannya tewas malam ini.

Beliau yang juga mengakui Kuching bukan lawan mudah, berkata bahawa pemain beliau telah diingatkan untuk berhati – hati apabila menentang pasukan Kuching, dan kesilapan individu pemainnya membawa padah.

Sazali juga mengatakan bahawa kegagalan pasukannya mengawal pemain import Kuching juga merupakan punca kegagalan pasukannya mencuri sebarang mata malam kelmarin.

“Sememangnya kecewa dengan keputusan kita tewas 4-2 kepada Kuching.  Telah diberitahu sememangnya Kuching ini satu lawan yang sukar.” kata Sazali kepada pemberita selepas perlawanan.

“Kita bermula dengan baik, tetapi kita melepaskan gol atas kesilapan individu.  Pertahanan kita gagal mengawal pemain import Kuching sewaktu set-piece.” katanya lagi.

Kemenangan Kuching telah melonjakkan kedudukan pasukan Sarawak itu ke kedudukan ke enam Liga Premier, dan ini merupakan kemenangan ketiga berturut – turut oleh pasukan baharu itu. – SarawakCrocs.com