Anak Sarawak berumur 22-tahun, Filemon Anyie Standly, akan ke pasukan Liga Super PJ City FC untuk musim hadapan.
Begitulah maklumat yang kami dapat daripada laman Facebook jurulatih bolasepak terkenal Hakimi Man.
Hakimi dalam satu nota ringkas di Facebook peribadinya berkata bekas anak didiknya, Filemon, sudah sah akan berhijrah dari pasukan PKNP FC ke pasukan PJ City FC untuk musim hadapan.
Pemain pertahanan dari Miri Sarawak itu sebelum ini pernah bermain untuk pasukan bawah-19 tahun Sarawak FA, sebelum berhijrah untuk menyertai pasukan Liga Super PKNP FC pada tahun 2018.
Beliau telah beraksi dengan PKNP FC secara regular, dan laman Soccerway menyatakan beliau telah bermain di dalam tidak kurang 15 perlawanan bersama pasukan tersebut pada musim 2019.
Perubahan dalam struktur pentadbiran PKNP FC walaubagaimanapun menyaksikan status pasukan Filemon musim hadapan menjadi tanda tanya.
Ini adalah kerana PKNP FC akan menjadi pasukan simpanan Perak FA bermula musim hadapan dan akan bermain di Liga Premier.
Dalam pada itu, kemaskini status oleh Hakimi mengesahkan hala tuju anak Miri ini buat musim 2020 dan kami ucapkan selamat berusaha dengan pasukan baharu!