Sarawak United hari ini dikhabarkan telah dibekukan daripada melakukan sebarang perpindahan pemain pada jendela perpindahan Januari 2022.
Larangan tersebut dibuat apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memuktamadkan hukuman terhadap kelab tersebut selepas ianya gagal menjelaskan gaji bekas Ketua Jurulatihnya, Juan Carlos Margo.
Adalah difahamkan hutang gaji tersebut bernilai RM200,000.
Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, yang uga merupakan pemilik Sarawak United, Posa Majais dilaporkan telah mengakui larangan perpindahan pemain oleh FIFA itu.
Dia dilaporkan memberitahu akhbar New Straits Times bahawa Sarawak United sedang membuat rayuan.
“Kami sedang membuat rayuan untuk membayar separuh.
“Jumlah yang diminta adalah RM200,000.
“Ini adalah pengajaran kepada kami dan kami akan memastikan bayaran dibuat sebelum tempoh sekatan (perpindahan pemain) bermula” kata Posa kepada akhbar New Straits Times.
Margo yang berasal dari Sepanyol telah diambil sebagai ketua jurulatih pertama Sarawak United.
Sungguhpun demikian, beliau telah disingkirkan oleh Sarawak United sebelum musim Liga Malaysia bermula berikutan keputusan kurang memberangsangkan.