Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) telah melantik Abang Suhordie Abang Zaini sebagai exco bebas terbaharu persatuan tersebut bagi tempoh 2019/2021.
Menurut laporan Utusan Borneo, pelantikan Suhordie disahkan oleh Presiden FAS Posa Majais menerusi surat yang diedarkan semalam.
Suhordie yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) dilaporkan belum mempunyai peranan dan tanggunjawab khusus dengan Utusan Borneo berkata bahawa pihaknya aan bermesyuarat bagi menentukan perkara tersebut.
Posa dipetik oleh Utusan Borneo sebagai berkata “Kita yakin dengan pengalaman dimiliki beliau mampu diguna pakai dalam meningkatkan mutu sukan bola sepak di negeri ini mencakupi pelbagai sudut”.
Dalam perkembangan sama, akhbar sama juga melaporkan bahawa Suhordie telah menerima pelantikan tersebut dan berharap beliau dapat memberi sumbangan kepada pembangunan bola sepak Sarawak.
Beliau dipetik sebagai berkata “Saya telah menerima surat pelantikan sebagai Exco Bebas FAS semalam. Dan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan badan induk tertinggi itu atas kepercayaan diberikan bagi jawatan tersebut”.
“Saya berharap pengalaman yang ada ketika bersama FAS sebelum ini dapat dikongsikan untuk menyumbang sesuatu bagi memastikan pembangunan sukan bola sepak di negeri ini mencapai objektifnya”.
Suhordie adalah exco bebas kedua yang dilantik FAS dalam jangka masa dua bulan ini selepas turut mengumumkan pelantikan Basil Thomas dibuat pada September lalu.