Pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) nampaknya kini semakin cuba menjauhkan diri daripada menguruskan pasukan bola sepak profesional apabila Jawatankuasa Eksekutif persatuan tersebut mengambil keputusan mempertimbangkan semula pegangan sahamnya di dalam Sarawak United FC.
Menurut satu perkongsian di laman sosial FAS, persatuan kini mengambil maklum dan akur mengenai dasar Pro Football Programme yang telah diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2019.
Menurut dasar yang mula berkuatkuasa pada 2020, pemilikan Persatuan Bolasepak Negeri dalam mana-mana kelab bola sepak sehingga 2022 adalah terhad, dan ini sekaligus menyaksikan FAS tidak lagi dapat bergiat secara aktif dalam mana – mana pasukan bolasepak profesional.
Tindakan FAS mahu melihat semula pegangan saham boleh dilihat sebagai memberi gambaran awal bahawa persatuan itu mungkin akan mengeluarkan diri dari memegang saham Sarawak United, sekaligus menyaksikan Sarawak United dimiliki sepenuhnya oleh Posa Majais.
Mesyuarat pada 4 Februari 2023 itu merupakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pertama di bawah presiden FAS baharu, Abang Zulkarnain Abang Abdulrahman.