Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais berharap bahawa Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) akan mengotakan janji-janji yang dibuat beliau semasa beliau dicalonkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.
Komen Posa hadir selepas seorang lagi calon Presiden FAM, Datuk Annuar Musa mengumumkan beliau mengundur diri dari pencalonan jawatan tersebut, sekaligus menyaksikan TMJ menang tanpa bertanding.
Posa mengulas janji TMJ berkata terdapat 11 perkara yang dibangkitkan TMJ bagi menaikkan mutu bolasepak Malaysia, tetapi beliau amat berharap bahawa hal berkaitan keadilan terhadap semua persatuan bolasepak, terutama dari segi pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi.
TMJ bakal ditabalkan menjadi Presiden baharu FAM Sabtu ini pada Kongres FAM, dan dijangka akan memegang jawatan tersebut sehingga 2021.
Sebelum ini, wakil FAS juga telah berjumpa dengan TMJ bagi menyatakan sokongan terhadap pencalonan beliau sebagai Presiden FAM.