FAS – Fahami, Awasi dan Skor (Bahagian II)

(Nota: Ini ialah artikel terakhir daripada dua bahagian mengenai topik ini)

Dalam artikel terdahulu, kita menjelaskan FAS – Fikir, Aplikasi dan Selaras yang terarah kepada idea pembaharuan semula bagi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS). Menyebut FAS seolah-olah menggambarkan perkataan “fast” yang bererti “pantas”, dan inilah apa yang patut dilakukan oleh FAS.

Kali ini, kita mengupas secara ringkas FAS untuk pasukan Sarawak FA. Umum mengetahui bahawa cabaran Sarawak dalam Challenge Cup ini diselubungi pelbagai isu. Untuk itu, mari kita memahami apakah maksud Fahami, Awasi dan Skor ini kerana setiap satunya akan membuka mata Sarawak.

Fahami

Semua yang terlibat dalam pasukan – barisan kejurulatihan, pegawai teknikal, media dan pemain harus memahami antara satu sama lain. Memiliki jurulatih terhebat dunia belum tentu menjamin kejayaan pasukan jika pemain tidak memahami apa yang disampaikan. Lebih memburukkan, jika ada pemain yang menimbulkan isu yang mampu menggugat keharmonian pasukan. Sebab itulah, mereka hendaklah berfungsi sebagai keluarga bagi memahami peranan dan tanggungjawab, seterusnya dapat diterjemahkan ke padang.

Di atas padang, kefahaman adalah sangat penting kerana keserasian yang terbentuk daripadanya mampu menguatkan pasukan untuk bermain sebagai satu unit. Tiada yang lebih besar daripada pasukan, susah senang dirasai bersama.

Awasi

Jika semua pihak dalam pasukan memahami peranan antara satu sama lain dan berfungsi sebagai keluarga, sudah tentu tindakan mempertahankan pasukan akan diambil. Sarawak harus mengawasi setiap pergerakan dan maklumat dalaman daripada dieksploitasi atau disensasikan pihak luar yang boleh mengakibatkan pengurusan, penaja dan penyokong menyoal mereka nanti.

Di atas padang, keupayaan mengawasi gerak-geri rakan sepasukan dan lawan amat penting supaya pemain dapat mencipta gerakan bagi menyerang kubu lawan, serta awas dengan anasir luar padang seperti cemuhan penyokong dan godaan bookie.

Skor

Semua di atas, jika tidak diselaraskan ke segenap aspek akan menggagalkan peluang menjaringkan gol. Skor (score) ini bukan sekadar bola menerjah gawang hasil sistem permainan berkesan, bahkan skor bagi pasukan adalah pencapaian dalam aspek pembinaan pasukan, hubungan profesional yang boleh memantapkan lagi penambahbaikan ke arah pasukan yang hebat.

Kita berharap agar ketiga-tiga poin ini dapat merungkai belenggu pasukan, sekurang-kurangnya sehingga tamat kejuaraan ini. Masih ada masa untuk Sarawak untuk duduk semula dan memperkemaskan apa yang patut menjelang perlawanan menentang Perth Glory FC dan Terengganu FC II di Kuching nanti. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top