Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) bakal berwajah serba baharu mengikut laporan Utusan Borneo.
Ini berikutan pertandingan sengit untuk jawatan Naib Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 27 Oktober ini.
Menurut laporan akhbar tersebut, antara calon yang mengesahkan akan bertanding pada AGM kali ini ialah dua penyandang Naib Presiden FAS ketika ini iaitu Razali Dolhan dan Abang Suhordie Abang Zaini.
Calon lain termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBBS) Mohamad Iskana Bujang, Presiden Persatuan Bola sepak Serian (SFA) Phillip Jabu, Presiden Persatuan Bola Sepak Mukah (MUFA) Ajahar Bakar, Presiden Persatuan Bola Sepak Miri ( PBBM) Mohd Saif Jubaidi, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarikei (Sarikei FA) Abang Zaini Abang Ismail dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kapit (Kapit FA) Nichol Agoi.
Turut bertanding adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sri Aman (FASA) Abdillah Majid, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sibu (SFA) Mejar (B) Moses Ripai, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Limbang (PPBL), Abdul Ajis Kon Mohamad Ghazali dan Othman Sulaiman.
Presiden FAS, Posa Majais dipetik akhbar tersebut sebagai gembira dengan perkembangan terbaharu itu sungguhpun Posa enggan mengulas berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden FAS.
Pemilihan FAS bakal dilaksanakan pada AGM FAS 27 Oktober ini dengan Posa dijangka mudah mengekalkan jawatan Presiden yang sudah dipegangnya selama hampir dua tahun.