Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini membidas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Izham Ismail, semalam berkaitan masalah tunggakan gaji pemain.
FAM berkata PFAM tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh seperti itu.
Ini adalah kerana satu kenyataan seperti itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil dalam menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang disebut PFAM.
Menurut FAM, tidak semua pasukan yang dinyatakan itu langsung tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan sambil menyifatkan kenyataan PFAM bertentangan dengan segala usaha yang telah ditunjukkan oleh sesetengah pasukan itu dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan secara baik dengan pemain mereka mahu pun menerusi PFAM sendiri.
IKLAN: Sertai SarawakCrocs Fantasy Premier League (ScFPL) dan berpeluang memenangi hadiah berjumlah tunai lebih RM2,000. MAKLUMAT SELEBIHNYA DI SINI.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) tiada sebarang kes sama ada dengan FAM atau pun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), manakala Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pula hanya mempunyai satu kes tunggakan gaji yang dibawa ke FIFA tetapi sudah pun diselesaikan.
Stuart juga mendakwa jika sebarang kes tunggakan gaji lain membabitkan PBNP mungkin tidak dilaporkan atau masih belum diputuskan keputusannya oleh FAM atau FIFA.
Stuart dalam pada itu juga turut memaklumkan terdapat beberapa usaha berkenaan kes tunggakan gaji berkaitan melibatkan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Persatuan Bolasepak PDRM, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan juga Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), seperti juga wujud usaha untuk menyelesaikan masalah bagi kelab-kelab yang sudah tiada.
Untuk membaca kenyataan lengkap FAM, anda boleh ke sini.
Ikuti kami di Instagram: www.instagram.com/sarawakcrocs