Khabar kurang gembira telah singgah di Bumi Kenyalang apabila sumber kami memberitahu bahawa pihak Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP), yang terletak di bawah telunjuk Y.A.M. Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, telah menghadkan bilangan tiket yang dikhaskan untuk peminat Sarawak kepada hanya 250.
Menurut sumber kami, hal ini timbul kerana PBNP telah dinasihatkan oleh Tengku Muda Pahang untuk mengutamakan peminat dari negeri Pahang yang mana dijangka akan turun berama-ramai ke Stadium Darulmakmul dalam jumlah besar.
Satu lagi sumber menyatakan bahawa wujud kegusaran di pihak PBNP terhadap bilangan peminat Sarawak yang mungkin terlalu ramai, sekaligus menghilangkan kelebihan bermain di tempat sendiri yang dimiliki Pahang.
UltraCrocs dalam satu kenyataan ringkas di Facebook mereka menyatakan mereka amat sedih di atas keputusan PBNP sambil menyatakan bahawa mereka telahpun menggunakan segala ‘kabel’ yang ada, tetapi arahan dari kedudukan yang amat tinggi di Negeri Pahang menggagalkan semuanya.
Pihak Ultracrocs dalam itu menggesa semua peminat Sarawak yang ingin ke Stadium Darulmakmur untuk mendapatkan tiket sendiri apabila penjualan tiket dibuka kelak.
Seorang peminat tegar Sarawak yang hanya ingin dikenali sebagai David mempersoalkan tindakan PBNP yang beliau rasa memberi impak secara negatif kepada keselamatan penyokong di stadium semasa perlawanan kelak. Tambah David, kes pergaduhan diantara penyokong hampir pasti berlaku jika penyokong tidak diasingkan.
Untuk rekod, Stadium Darulmakmur berkapasiti 40,000, dan jika benar PBNP menetapkan kuota sebanyak 250 kepada peminat Sarawak, maka ianya adalah kurang daripada 1% (0.625%) kapasiti stadium tersebut.
Dikhabarkan hampir 3000 peminat Sarawak akan ke Kuantan minggu hadapan dengan lebih 300 menaiki kapal terbang dari Sarawak.