Semakin banyak berita di luar padang yang dapat kita ikuti di media sosial sebelum bermula musim Liga M 2019.
Banyak pasukan yang menukar pengurusan baharu selari dengan pertukaran kerajaan negeri.
Kedah sedang giat membina semula pasukan dibawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir,
Perak masih sibuk dengan politik di dalam sukan dan Selangor dilihat sudah mula mengorak langkah ke arah yang lebih baik.
Pasukan The Red Giants telah mengadakan satu bengkel perbincangan untuk menentukan hala tuju pasukan paling berpengaruh Malaysia ini. Semua pihak yang terlibat dalam liga diajak berdiskusi demi mencapai misi dan visi pasukan.
Melalui kaedah ini, jelas menunjukkan bahawa Raja Muda Selangor, bersikap terbuka untuk menerima idea dari orang luar. FA Selangor kini bukan hanya bergantung kepada idea dari mereka yang didalam persatuan sahaja.
Adakah FA Sarawak (FAS) mampu untuk bertindak sedemikian. Mampukah mereka mendengar idea dan pendapat dari orang di luar persatuan. Melalui sesi perkongsian idea inilah biasanya akan muncul perkara-perkara yang positif.
Mungkin ada penaja di luar sana yang berminat namun tidak mempunyai akses kerana sikap tertutup FAS sendiri.
Mungkin juga ada penyokong yang mempunyai idea untuk mengembangkan lagi pengaruh pasukan di serata negeri namun dipandang enteng oleh persatuan.
Jika ego persatuan dapat diturunkan tidak mustahil pasukan Sarawak akan kembali menjadi kuasa besar bola sepak negara. Sekarang dengan Sabah juga kita semakin ketinggalan. Mana-mana pasukan yang mengamalkan dasar terbuka dilihat lebih berdaya saing.
Contoh pengurusan terbaik sudah ada di dalam negara kita. JDT memulakan reformasi diikuti Terengganu.
Kini Selangor dan Kedah bakal menyusul jejak mereka. Malah banyak pasukan kelab sudah mula ke arah yang sama.
Untuk pengurusan Sarawak FA, ada satu soalan untuk anda. Bila lagi mahu melangkah? Atau masih selesa di kerusi empuk dengan elaun bulanan yang tidak pernah putus. Ngap Sayot – SARAWAKCROCS.COM/JJF