Pasukan DDM FC berjaya menyekat kemaraan Kuching FA selepas tamat 90 minit perlawanan di antara kedua-dua pasukan petang ini tadi.

Kuching yang mengawal perlawanan sepenuhnya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun ketumpulan barisan serangan menyaksikan pasukan bimbingan Ideris Untong itu terus kecewa biarpun acap kali melorongkan bola ke kawasan penalti DDM.

SarawakCrocs Fantasy Premier League 2019/20

Di dalam keghairahan Kuching menyerang, serangan kilat DDM pula yang memecah kebuntuan gol perlawanan pada minit ke-35 apabila sepakan percuma Aidil Zainal menerjah jaring, menewaskan penjaga gol Kuching Iqbal Suhaimi.

Kuching yang enggan mengaku kalah terus melakukan asakan, dan juga memasukan Joseph Kalang Tie namun terus buntu mencari gol penyamaan.

Pada babak kedua, Kuching akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Joseph mudah menewaskan penjaga gol DDM pada minit ke-59.

Kuching terus menguasai perlawanan dengan serangan-serangan berbahaya dari gandingan Joseph, Rafiezan dan Yuta namun keputusan seri tersebut kekal sehingga tamat masa penuh.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan Kuching yang kini gah di persada Liga M3.

DDM FC 1 – 1 Kuching FA