David mahu pemain bolasepak SUKMA Sarawak

Ketua jurulatih bolasepak Sarawak, David Usop, telah menyatakan hasrat bahawa beliau mahukan pasukan Bujang Senang kekal sebagai satu pasukan dengan semua pemain, terutama sekali pemain mudanya, terus kekal di bawah naungan pasukan utama yang dibimbingnya.

Komen David hadir apabila beliau ditanya berkenaan status tiga pemain muda beliau, yakni Rodney Celvin, Nur Syamie Iszuan dan Tommy Mawat, yang kini juga bermain untuk pasukan SUKMA Sarawak dibawah bimbingan jurulatih dari Bosnia, Fuad Gbresic.

Menurut David, jadual Liga Malaysia yang padat selepas Hari Raya akan menyaksikan beliau memerlukan semua pemain yang telah didaftarkan, dan ini termasuk tiga pemain muda tersebut. Beliau turut melahirkan kerisauan berkenaan jadual yang padat pada bulan Julai yang akan menyaksikan Sarawak bermain tiga perlawanan di tempat lawan secara berturut-turut.

Dalam pada itu, David menambah bahawa beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan pasukan SUKMA bagi menyelesaikan masalah itu, tetapi berharap pihak pengurusan pasukan SUKMA memahami keperluan pasukan yang dibimbingnya.

Pasukan SUKMA Sarawak telah diundi di dalam Kumpulan C dan akan memulakan kempen mereka untuk memenangi pingat emas di dalam pertandingan tersebut bermula Julai 19.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top