Pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dikhabarkan mungkin melantik semula David Usop sebagai Ketua Jurulatih pasukan Piala Belia Sarawak FA yang akan bertapak di Miri.

Beberapa sumber kami mendakwa bahawa David kini merupakan calon paling utama bagi mengisi kekosongan yang ada di dalam pasukan tersebut.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Sumber sama menyatakan bahawa David memiliki kelayakan yang diperlukan untuk mengendalikan pasukan Belia Sarawak dan tugas tersebut sememangnya tidak asing lagi bagi David.

Selain daripada itu, David juga kini merupakan pengarah jurulatih pasukan Optima FC yang dimiliki Basil Thomas, exco bebas baharu FAS.

Sungguhpun demikian, sumber kami juga mendakwa bahawa pelantikan David belum lagi dapat disahkan kerana pihak berwajib masih meneliti beberapa calon lain.

David bukanlah nama asing di dalam bola sepak Sarawak selepas beliau beberapa kali dilantik menjadi Ketua Jurulatih bagi pasukan utama Sarawak FA.

Selepas ‘direhatkan’ musim ini, David seolah hilang dari radar dan hanya muncul apabila Basil mengumumkan pembukaan kelab bolasepak OPTIMA di Miri.

Buat masa ini, Sarawak FA telah menamakan Ahmad Fairuz Yunus sebagai Ketua Jurulatih pasukan Piala Presiden/SUKMA 2020 Sarawak, dengan nama ketua jurulatih Sarawak FA bagi pasukan Piala Belia dan pasukan senior masih menjadi tanda tanya.