Selepas kemenangan 3-0 ke atas Perak malam tadi, nama penolong jurulatih David Usop semakin meniti di bibir peminat dan pemerhati arena bolasepak Malaysia, khususnya di Sarawak.
Kejayaan David mengemudi Sarawak untuk mendapatkan dua kemenangan berturut-turut, kedua-duanya keatas Perak, telah membantu Sarawak keluar dari zon bahaya. Keputusan positif ini adalah lebih baik daripada keputusan sebelum ini ketika Sarawak berada dibawah jurulatih K Rajagobal.
Perkembangan positif ini telah mengakibatkan segelintir peminat berpendapat pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) perlu mempertimbangkan David Usop sebagai ketua jurulatih kekal Sarawak. Menurut mereka, adalah tidak perlu untuk Sarawak mencari jurulatih baharu kerana David wajar diberi peluang.
Malah, undian kami di Twitter kami mendapati daripada 220 peminat, hampir 96% mahukan David dikekalkan dan diberi kepercayaan untuk mengemudi Sarawak.
Haruskah David Anak Usop diberi kepercayaan (dikekalkan) mengemudi Sarawak sehingga akhir musim?
— SarawakCrocs™ (@SarawakCrocs) May 21, 2016
Sentimen sama walaubagaimanapun tidak dikongsi salah seorang penulis laporan SarawakCrocs, MS Suyong, yang berkata bahawa ianya adalah terlalu awal untuk menilai prestasi David. Menurut Suyong, walaupun kemenangan ke atas Perak membawa perkembangan positif kepada kem Sarawak, namun peminat harus sedar bahawa Perak bukan dalam keadaan terbaik dengan pasukan tersebut bermain tanpa ketua jurulatih mereka.
Dengan pintu perpindahan bulan Jun bakal dibuka tidak lama lagi, pihak FAS perlu mempertimbangkan keputusan terbaik bagi melantik Ketua Jurulatih Sarawak bagi penghabisan musim 2016.
Ini adalah kerana jurulatih baharu ini, jika dilantik pada atau sebelum bulan Jun ini, bakal berupaya mencorakkan pasukan Sarawak pada bulan-bulan akan datang dengan memberi cadangan pengguguran dan pengambilan pemain Sarawak, terutama sekali pemain import.
Pada hemah anda, haruskah jawatan tersebut dikekalkan dengan David, atau haruskah FAS melantik jurulatih baharu?