Challenge Cup: Sarawak tewas lagi, apa alasan kali ini?

Malam tadi, pasukan Sarawak tewas kepada pasukan Negeri Sembilan dengan jaringan 3-1. Walaupun mendahului awal hasil jaringan Nor Azizi Ramlee, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan sebelum menambah dua lagi pada separuh masa kedua.

Sudahlah bermain di darat, kalah ditanduk rusa pula. Lebih menyakitkan, inilah kemenangan pertama skuad Jang dalam saingan Challenge Cup 2018 ini.

Kekalahan di Paroi ini ialah satu tamparan besar kerana skuad Bujang Senang dijangka beraksi lebih baik selepas berehat hampir dua minggu. Melalui pemerhatian semalam, permainan pada separuh masa pertama adalah baik tetapi sindrom hilang fokus dan goyah merosakkan permainan pada separuh masa kedua.

Negeri Sembilan pula memanfaatkan peluang akibat kerapuhan sistem permainan Sarawak dan bangkit daripada persembahan sebelum ini. Nyatalah bahawa mereka belajar daripada kesilapan dan ingin membuktikan kepada penyokong tentang kemampuan sebenar mereka.

Kita yakin bahawa permainan menentang Terengganu FC II tempoh hari boleh dijadikan sandaran untuk bermain lebih baik, sedang pasukan Jang tampak merangkak untuk mencipta kemenangan pertama. Dan nyatalah mereka berjaya menang dengan mengatasi kita.

Dengan kekalahan ini, pintu keluar semakin hampir untuk Sarawak. Apa lagi alasan digunakan untuk menjustifikasikan persembahan buruk malam tadi?

Penyokong berhak mengkritik pasukan kerana mereka sayangkan pasukan, tetapi adakah pasukan benar-benar serius menangani permasalahan yang berlaku?

Adakah bermain di Challenge Cup membebankan? Jika ya sekalipun, ini tidak patut dijadikan alasan kerana persembahan yang baik boleh menarik minat penaja untuk membantu. Bahkan, untuk kejuaraan ini saja Sarawak Energy telah sudi untuk membantu pasukan dari segi kewangan.

Atau apakah masalah gaji menjadi punca lagi? Mungkin kita boleh memahami kesukaran FAS ketika ini tetapi atas nama profesionalisme, pemain sepatutnya menumpukan fokus dan bermain baik di atas padang selama 90 minit. Begitu juga jika ada masalah perpaduan dalam skuad, maka ketepikan sentimen tersebut dan bersatu untuk bermain atas nama pasukan ke arah kejayaan.

Sarawak patut melihat kepada kejayaan jiran tetangganya, Sabah yang semakin hebat di Piala Malaysia. Jika pengurusan pasukan masih menutup mata atas persembahan buruk pasukan, ada lebih baik jika #BubarSarawakFA diteruskan. – SARAWAKCROCS.COM/RSI

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top