Pemain sayap Kuching City FC Ahmad Danial Ahmad Asri telah berhijrah ke DPMM FC.

Teka-teki mengenai masa depan penyerang sayap lincah, akhirnya terjawab apabila beliau disahkan berhijrah ke kelab Brunei bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/27.

Pemain berusia 26 tahun itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya bersama Kuching City FC yang telah pun berakhir pada 31 Mei lalu, sekali gus menyaksikan perpindahan beliau ke kelab berpangkalan di Brunei itu sebagai ejen bebas.

Penghijrahan anak jati Rawang ini ke bumi Sarawak pada pertengahan tahun 2025 sebelum ini dianggap sebagai titik tolak kebangkitan semula kariernya.

Selepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan di Selangor FC, Danial membuktikan keupayaannya bersama Kuching City FC dengan meledak 8 gol sepanjang musim dalam semua pertandingan serta menjadi watak penting dan pilihan utama di bahagian sayap jentera serangan skuad The Cats.

Perpindahan Danial Asri disahkan DPMM FC yang mengumumkan ‘tuaian’ pemain baharu mereka di laman web rasmi kelab tersebut.

Di DPMM, Danial Asri dilaporkan bakal digandingkan semula dengan bekas penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville, yang turut dikatakan hampir pasti menyertai DPMM FC.

Danial dijangka akan membuat penampilan pertamanya bersama kelab dalam Kejohanan Jemputan Piala Presiden 2026 yang bakal berlangsung di Indonesia pada bulan Julai ini.