Bukan tugas mudah

Pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd. Syazwan Zainon menjelaskan bukan mudah mengambil peranan ketua pasukan yang ditinggalkan Baddrol Bakhtiar yang berhijrah ke Sabah FC, musim ini.

Ujarnya, nama Baddrol selaku ketua pasukan Kedah Darul Aman sudah begitu sinonim di kaca mata peminat dan menjadi satu cabaran buat dirinya memenuhi harapan yang disandarkan.

Justeru, Syazwan berharap semua pihak boleh berikan sokongan kepada dia dan tidak terlalu membandingkan dengan Baddrol kerana masing-masing ada cara tersendiri.

” Tanggungjawab sebagai ketua pasukan di Kedah sebenarnya membuatkan saya berasa takut dan bukan untuk dibanggakan kerana semua orang tahu ketua pasukan sebelum ini adalah Baddrol.

” Saya gementar jika ada orang hendak bandingkan saya dengan Baddrol Bakhtiar kerana legasi yang dia tinggalkan sangat besar untuk diisi oleh sesiapa.

” Jadi, situasi ini bukan mudah namun harap semua peminat boleh menerima cara saya kerana setiap pemain punyai karakter yang berbeza.

” Apa-apapun, saya masih Syazwan yang dikenali seperti mana dulu dan akan sentiasa bercakap untuk kepentingan rakan sepasukan dan beri arahan kepada pemain jika keadaan memerlukan,” katanya.

Syazwan yang bakal menginjak umur 33 tahun menjadi antara pemain paling senior selain Shahril Saa’ri dan Azamuddin Mohd Akil di Kedah selepas pemergian Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah FC.

Biarpun pernah berhijrah ke Selangor selama dua musim pada 2019 dan 2020, Syazwan sebenarnya telah beraksi bersama Kedah sejak pertengahan musim 2013 hingga 2018.

Dia telah membantu Kedah memenangi pelbagai kejuaraan seperti Piala Malaysia (2016), Piala FA (2017) dan Liga Premier (2015).

Mengenai musim ini, Syazwan menjelaskan banyak perubahan sedang berlaku dalam pasukan dengan kehadiran sebahagian besar pemain-pemain muda yang menyaksikan Kedah bermain lebih pantas dalam tiga perlawanan lalu.

Antara nama besar yang bersama Kedah pada musim ini ialah Syafiq Ahmad, Al Hafiz Harun, Amirul Azhan Aznan dan Khairu Azrin Khazali.

” Terlalu awal untuk saya katakan yang Kedah akan jadi lebih baik berbanding musim lalu tetapi azam kami tetap sama iaitu mahu menjadi pencabar kejuaraan.

” Dibarisi ramai pemain muda, taktikal dan formasi pasukan nyata telah banyak alami perubahan malah begitu laju jika hendak dibandingkan sebelum ini.

” Apa yang mencabar sebenarnya adalah untuk kekal konsisten sepanjang musim dan harap permulaan positif Kedah dalam tiga perlawanan lalu dapat diteruskan, ” katanya. – MFL

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top