Menang dan kalah di dalam satu pertandingan sememangnya adalah asam garam kepada bertanding.
Susulan itu, apa yang berlaku di Stadium Sarawak pada malam Sabtu, apabila pemain Sarawak FA diejek dan di’boo’ oleh warga Sarawak sendiri adalah sesuatu yang amat tidak harus berlaku.
Walaupun kenyataan kini adalah pasukan Sarawak FA telah tersingkir ke Liga M3 musim hadapan, mengejek dan mempersendakan pemain-pemain pasukan Sarawak FA seharusnya tidak berlaku sama sekali.
Pemain-pemain ini telah bermain dengan semangat tertinggi di dalam diri mereka, walaupun mereka ditimpa banyak masalah yang bukan berpunca daripada diri mereka.
Mereka menyertai pasukan Sarawak FA pada awal musim dengan seribu satu harapan bahawa mereka mewakili negeri yang mereka cintai.
Mereka hadir dan sanggup menerima gaji yang jauh lebih rendah berbanding pemain lain di Liga Premier mahupun Liga M3 khabarnya, demi untuk bermain bagi pasukan yang mewakili Sarawak FA.
Pemain ini juga dijanjikan pelbagai imbuhan, dan kemudahan untuk meningkatkan prestasi dan kehidupan mereka pada awal musim.
Sungguhpun itu, khabarnya, kebanyakan janji-janji manis ini hanya tinggal janji.
Pemain yang turun ke setiap perlawanan bermain kerana lencana di dada, bukan kerana menerima gaji ataupun imbuhan yang dijanjikan.
Malahan, apabila mereka cedera, kebajikan mereka juga khabarnya adalah tanggungjawab mereka sendiri dengan bantuan dari pihak lain tidak boleh diharap.
Oleh itu, sesungguhnya menjadi dosa untuk sesiapa mencerca dan mengejek pemain-pemain Sarawak FA.
Ini bukan sahaja mereka kerana telah berusaha tanpa menghiraukan masalah luar padang yang mereka hadapi, tetapi juga kerana mereka adalah manusia yang perlu kita hormati.