Presiden Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman menegaskan pasukannya sudah merangka perancangan teliti khususnya dalam aspek kewangan untuk mengharungi Liga Premier 2020.

Menyedari beban kewangan bertambah selepas naib juara Liga M3 itu layak ke saingan Liga Premier, Fazruddin percaya pihak pengurusan kini bekerja keras dalam memastikan bajet mencukupi untuk mengharungi musim 2020.

Tips & maklumat berkenaan FPL dari Malaysia

Bahkan, mereka juga sudah bersedia untuk mengemukakan segala perancangan pendapatan pasukan kepada Malaysian Football League (MFL) sejajar dengan pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) sebelum mereka boleh membuat pendaftaran pemain.

“Antara cabaran utama kami pada musim depan sudah tentu kos pengangkutan serta kos lain termasuklah gaji pemain kerana pasukan sudah memasuki fasa baharu yang lebih tinggi iaitu Liga Premier.

“Kami akan ambil pendekatan dengan memaklumkan kepada pemain-pemain yang ingin kami ambil untuk bersama pasukan bahawa bajet yang ada hanyalah sejumlah ini dan tidak lebih.

“Sekiranya mereka tidak berminat atau minta lebih daripada peruntukan sebenar, kami akan mencari pemain lain yang mampu menepati kewangan pasukan ini.

“Selepas ini kami akan berjumpa lagi dengan pihak MFL untuk mohon nasihat mengenai perancangan kewangan ini kerana saya tidak mahu Kuching FA hanya menang di atas padang, tetapi daripada segi pengurusan biarlah terurus juga,” jelasnya.

Bercakap mengenai pencapaian Kuching FA pada musim ini, Fazruddin memuji kerja keras yang telah ditampilkan oleh semua pemain dan barisan kejurulatihan kerana akhirnya merealisasikan misi mereka untuk layak ke Liga Premier 2020.

Kejayaan menundukkan pasukan Sarawak dalam aksi playoff Liga Premier di Stadium Sarawak dengan keputusan 3-1 pada Sabtu lalu sudah cukup memberi satu kepuasan kepadanya apatah lagi perlawanan tersebut pada awalnya sudah dijangka akan menjadi dramatik apabila membabitkan dua pasukan dari negeri yang sama.

“Sudah pasti kami menjangkakan Perlawanan yang sengit kerana Sarawak sudah mempunyai pengalaman beraksi di liga lebih tinggi di samping kelebihan pemain import mereka dan tentunya mereka tidak ingin turun ke Liga M3.

“Berbekalkan semangat atas nama satu negeri iaitu Sarawak, pasukan Kuching FA juga enggan menyerah terlalu awal dan akhirnya kami berjaya juga untuk julang kemenangan dan layak ke Liga Premier 2020,” katanya.

Kuching FA mengikut jejak langkah Kelantan United yang terlebih dahulu layak selepas muncul juara Liga M3.