Bujang Senang bakal miliki stadium sendiri

Khabar kencang kini berlegar bahawa pasukan bolasepak Sarawak bakal memulakan musim 2017 dengan memiliki stadium sendiri.

Menurut pemahaman kami di SarawakCrocs, pasukan bergelar Bujang Senang itu bakal menggunakan Stadium Negeri Sarawak sebagai ‘rumah’ tetap bermula musim hadapan, dimana pihak Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan menguruskan semua perkara berkaitan stadium tersebut.

Ini secara lansung bermakna FAS akan mengambil alih pengurusan Stadium Negeri Sarawak daripada pihak Perbadanan Stadium Negeri yang sebelum ini bertanggungjawab menguruskan Stadium Negeri dan Stadium Sarawak.

Pengambil-alihan Stadium Negeri oleh FAS bermaksud FAS kini bakal berkebolehan mengubahsuai stadium tersebut mengikut keperluan dan kehendak bolasepak, sekaligus memantapkan lagi keselesaan pengunjung ke stadium tersebut.

Kami turut difahamkan bahawa pejabat pengurusan FAS juga akan berpindah ke Stadium Negeri jika rancangan mengambil alih stadium tersebut berjaya.

Pelan pengambil-alihan Stadium Negeri bukanlah sesuatu yang baharu apabila bekas Presiden FAS, Datu Sudarsono pada 2014, pernah mewar-warkan kepada kami bahawa beliau ingin mengambil alih stadium tersebut untuk kegunaan pasukan Sarawak.

Walaubagaimanapun, pelan tersebut tidak menjadi kenyataan sehingga beliau mengundur diri sebagai Presiden FAS, dan berkemungkinan pihak pengurusan baharu Sarawak kali ini, mampu menjadikan ianya realiti.

error: We appreciate it if you\'d share our link instead of copying our text. Thank you.
Scroll to Top