Penjaring terbanyak Sarawak FA pada musim lepas, Bobby Gonzales dilaporkan mungkin akan bersama Pulau Pinang FA pada musim ini.

Penyerang yang hampir seumur Christiano Ronaldo itu dilepaskan oleh pasukan Sarawak FA selepas musim 2019 berakhir.

Sebelum ini, beberapa laman media sosial khusus kepada bola sepak Sarawak sudahpun memberi bayangan bahawa Bobby akan menyertai pasukan Pulau Mutiara itu.

Sungguhpun demikian, belum ada kenyataan rasmi daripada Pulau Pinang mahupun Bobby berkenaan masa depannya.

Dalam perkembangan terkini walaubagaimanapun, Bobby dilihat beraksi ketika perlawanan pra-musim Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 28 Januari lalu.

Beliau yang masuk sebagai pemain gantian dimasukkan bagi menggantikan Endrick Dos Santos.

Biarpun tidak menjaringkan gol, persembahan dan ketajaman Bobby ternyata masih ada dengan beliau acap kali mengucar-ngacirkan bahagian pertahanan Perak.

Tambah menarik, pasukan Liga Super Perak FA tewas 2-0 kepada pasukan Pulau Pinang di dalam perlawanan sama.

Adalah diharapkan Bobby akan berjaya ditambat Pulau Pinang atau mana-mana pasukan baharu dalam masa terdekat.

Good luck Bobby!