Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya keputusan Malaysian Football League (MFL) meneruskan saingan Liga Malaysia pada bulan Ramadan akan memberikan kebaikan kepada pasukan kebangsaan.

Beliau berkata, barisan pemain Harimau Malaya akan lebih bersedia daripada aspek kecergasan menjelang tugasan antarabangsa mereka bertemu Timor Leste dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan depan.

SarawakCrocs Fantasy Premier League 2019/20

Justeru, bekas pengendali Kedah itu memuji pendekatan MFL yang turut mementingkan agenda kebangsaan tanpa merehatkan perjalanan Liga Malaysia pada bulan Ramadan.

“Saya berpendapat Liga Malaysia berjalan pada bulan Ramadan sebenarnya mempunyai kebaikan kerana ia dapat membantu pasukan kebangsaan.

“Jika Liga Malaysia rehat pada bulan Ramadan, ia sedikit sebanyak menjejaskan momentum pasukan kebangsaan. Tapi ia berbeza apabila pemain-pemain terus bermain di perlawanan kompetitif sebelum dipanggil menyertai latihan pusat.

“Sememangnya bermain di bulan Ramadan sedikit sebanyak memberikan kesan kepada fizikal dan kecergasan pemain-pemain tapi saya fikir pemain-pemain sudah memiliki pengalaman bermain di bulan Ramadan pada tahun lepas, jadi ia tidak akan mengganggu rentak mereka,” ujarnya.

Pentadbir Liga Malaysia, MFL membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan ke-13, 14 dan 15 Liga Super dan Liga Premier serta aksi kedua suku akhir Piala FA sepanjang Ramadan ini.

Ini bukan kali pertama Liga Malaysia berjalan pada bulan Ramadan dan penjadualan liga ini sudah dimaklumkan kepada setiap pasukan sebelum musim bermula.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe tidak menganggap pemain-pemain tempatan akan bergelut untuk memberikan prestasi terbaik ketika mereka bermain bersama pasukan masing-masing sepanjang bulan Ramadan.

“Yang penting pemain-pemain harus menikmati setiap masa apabila bermain dalam bulan Ramadan dan saya fikir ramai yang mula tidak setuju tetapi sebagai bekas pemain sendiri, saya percaya pemain-pemain dapat menyesuaikan diri dalam situasi ini,” katanya.