Selepas dua perlawanan Piala FA, banyak tumpuan kini diberikan kepada penyerang berusia 29 tahun Sarawak FA, Azrizan Ahmad.

Ini adalah kerana beliau telah menjaringkan empat gol dari dua perlawanan di dalam Piala FA 2020, sekaligus membawa pasukan Sarawak FA ke Pusingan Kedua pertandingan berprestij tersebut.

Penyerang sensasi Sarawak FA ini apabila dihubungi SarawakCrocs mengakui bahawa dirinya bercita-cita mahu mencipta nama seperti Bobby Gonzales.

Bobby merupakan antara penyerang terbaik pernah dimiliki pasukan Sarawak FA dan kehebatan Bobby itu telah diiktiraf oleh Malaysia Football League (MFL) yang menobatkan pemain kelahiran Sabah itu sebagai penjaring terbanyak dua musim berturut-turut.

Dalam pada itu, Azrizan mahu mengikut jejak langkah Bobby yang berjaya membentuk karier hebat dengan pasukan Sarawak FA.

Beliau yang mengakui bahawa Bobby adalah pemain yang beliau hormati dan pandang tinggi, merasakan bahawa Sarawak FA adalah tempat terbaik untuk beliau melonjakkan namanya sebagai pemain bola sepak di dalam Liga Malaysia.

Malahan, pemain yang berasal dari Langkawi itu berkata beliau sebenarnya teruja apabila ditawarkan tempat bersama pasukan Sarawak FA.

Beliau mengibaratkan peluang bermain untuk Sarawak FA sebagai satu peluang yang amat berharga bagi dirinya kerana kini beliau akan dapat mewakili pasukan bertaraf negeri yang disokong ramai.

Azrizan juga menyatakan bahawa bermain dengan pasukan Sarawak FA membawa cabaran baharu bagi dirinya, namun beliau nekad mahu menabur bakti terbaik bagi memastikan pasukan Sarawak FA kembali dibanggakan dan menjadi lebih diminati di Malaysia.

Tambah Azrizan, Sarawak FA sebenarnya adalah satu pasukan yang cukup besar di dalam Liga Malaysia, dan sokongan peminatnya yang unik turut membangkitkan semangat mahu bermain dengan bersungguh-sungguh di dalam dirinya.

Azrizan sebelum ini lebih terkenal sebagai pemain futsal, namun telah mula berjinak-jinak dengan sukan bola sepak apabila beliau menyertai Protap musim lepas.